MELAKA - Tindakan tiga warga asing dipercayai aktif melakukan kegiatan seluk saku di kawasan pelancongan Jonker Walk tumpas selepas diberkas polis dalam satu operasi, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, dua suspek warga Indonesia, masing-masing lelaki dan wanita, serta seorang lelaki warga China ditahan kira-kira jam 3 petang di Jalan Hang Jebat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek wanita bertindak mengambil dompet mangsa, manakala suspek lelaki berperanan memerhati keadaan sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian
“Hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas dua beg galas, dua beg dompet, lima telefon bimbit pelbagai jenama selain wang tunai mata wang Malaysia dan Indonesia.
“Polis turut menerima satu laporan berkaitan kejadian kehilangan dompet membabitkan seorang pelancong lelaki warga China di Jalan Hang Jebat," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati dua suspek warga Indonesia itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes seluk saku lain di sekitar Melaka.
Katanya, kesemua suspek direman selama 14 hari sehingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Ujarnya, polis menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan berkenaan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan menjaga barangan peribadi terutama ketika berada di kawasan tumpuan pelancong dan lokasi sesak.
"Kami juga menyeru agensi pelancongan, pemandu pelancong serta pengusaha premis pelancongan supaya memainkan peranan proaktif dengan mengingatkan pelancong agar sentiasa berwaspada terhadap jenayah seluk saku," katanya.