SKBBK bukan beban, hanya potong 0.75 peratus- Ramanan

Iklan
Ramanan(tiga dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada majikan yang menyertai Karnival Lindung Kerjaya MADANI Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Skim LINDUNG 24 Jam bukan bertujuan menyusahkan atau menambah beban mana-mana pihak, sebaliknya bagi memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pekerja serta ahli keluarga mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kadar caruman sebanyak 0.75 peratus yang ditetapkan adalah rendah jika dibandingkan dengan manfaat perlindungan yang bakal dinikmati pencarum.

Iklan
Iklan

"Besar sangatkah 0.75 peratus yang kita bayar demi keluarga dan orang yang kita sayangi?

"Saya sendiri tidak akan teragak-agak untuk membayar satu peratus sekiranya diperlukan. Ini pula hanya 0.75 peratus. Betulkah kita nak bercakap mengenai perkara ini?" katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya MADANI Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai rungutan orang ramai berhubung SKBBK yang didakwa membebankan.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, setakat pengetahuannya, tiada skim insurans lain yang menawarkan kadar caruman serendah itu dengan perlindungan 24 jam.

Iklan

Tambahnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan tersebut, terutama ketika musim pilihan raya.

"Sekarang musim pilihan raya, pelbagai cerita akan dikeluarkan. Benda baik kita buat pun akan dikatakan jahat. Jangan dengar semua itu.

"Kalau ambil insurans lain, carumannya mungkin lebih mahal. Tetapi apabila kehilangan pekerjaan, adakah manfaat itu dijamin akan dibayar? Belum tentu,"katanya.

Namun jelasnya, ia berbeza dengan SKBBK di bawah Perkeso yang memberi jaminan 100 peratus bahawa setiap pencarum akan menerima manfaat tanpa perlu bimbang.

Tambahnya, pelaksanaan skim terbabit amat mendesak selepas mengambil kira data yang dikeluarkan Perkeso apabila sebanyak 12,306 tuntutan dikemukakan oleh pencarum terpaksa ditolak dalam tahun 2023 sehingga Oktober 2025.

"Tuntutan-tuntutan ini ditolak kerana ia diklasifikasikan sebagai kecederaan luar masa kerja yang berlaku di luar waktu bertugas rasmi pekerja.

"Angka ini mendedahkan jurang yang sangat besar dalam jaringan keselamatan sosial negara kita sebelum ini. Jurang inilah yang kita mahu tutup terus,"katanya.

Selain itu kata Ramanan, dalam tempoh sebulan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, hampir 20 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO setiap hari untuk proses penyaluran faedah.

Malah ujarnya lagi, kadar terbabit dijangka akan meningkat terutama apabila tiba musim perayaan kerana risiko kemalangan akan semakin meningkat.

"Saya memohon agar semua pihak diberikan sedikit masa untuk memahami mekanisme skim ini terlebih dahulu.

"Ambil masa untuk menyemak butirannya, dan anda akan melihat sendiri betapa besarnya manfaat, bantuan kewangan, serta faedah pemulihan yang bakal diperoleh sekiranya perkara luar jangka berlaku,"katanya.