BEIJING - Angka korban ribut dahsyat di beberapa bahagian di China telah meningkat kepada 15 orang pada Selasa dengan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan.
Kawasan timur Beijing turut dibadai Taufan Bavi selepas 'amukan' Maysak yang mencetuskan banjir teruk setelah beberapa empangan pecah akibat limpahan air luar biasa.
Susulan bencana yang kian buruk, Presiden Xi Jinping menggesa semua agensi berkaitan mempergiatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.
Agensi berita Xinhua melaporkan fenomena 'cuaca perolakan teruk' melanda beberapa bandar manakala kejadian puting beliung turut dilaporkan di kawasan lain hingga mengakibatkan lebih 300 cedera.
"Kira-kira 4,800 rumah di wilayah tengah Hubei terjejas dan 22 yang lain dibawa arus deras," jelas laporan itu lagi.
Di wilayah selatan Guangxi, pasukan penyelamat memindahkan kira-kira 50,000 penduduk dan lapan dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa di Nanning turut menaikkan tindak balas kecemasan kawalan banjir ke tahap tertinggi selepas hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa empangan pecah.
Rakaman dramatik yang dikongsi oleh CCTV menunjukkan aliran lumpur deras melepasi dinding konkrit empangan yang runtuh.
Dalam kejadian berasingan, tanah runtuh di sebuah kampung di wilayah barat laut Gansu menimbus 33 penduduk, namun 17 daripadanya berjaya diselamatkan
Pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 22 terkorban selepas hujan lebat melanda kawasan tengah dan selatan negara itu dengan beberapa lokasi mencatatkan taburan hujan tertinggi. - Agensi