DHAKA – Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman menegaskan penyelesaian berkekalan terhadap krisis Rohingya mesti dicapai di Myanmar, negara asal komuniti berkenaan.
Beliau berkata, keutamaan utama Bangladesh adalah memastikan Rohingya dapat kembali ke tanah air secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan.
“Krisis ini bermula di Myanmar dan penyelesaiannya juga mesti ditemukan di Myanmar,” katanya ketika merasmikan persidangan tiga hari Bay of Bengal Conversation (BOBC) 2026 di Dhaka baru-baru ini.
Menurutnya, Bangladesh kini menempatkan hampir 1.2 juta Rohingya, sekali gus menanggung beban kemanusiaan dan ekonomi yang berpanjangan.
Tarique turut menggesa masyarakat antarabangsa terus memberi sokongan politik dan bantuan kewangan bagi membantu menyelesaikan krisis berkenaan.
Beliau menegaskan penghantaran pulang sahaja tidak mencukupi sekiranya punca utama yang menyebabkan Rohingya terpaksa meninggalkan Myanmar tidak ditangani.
Dalam ucapannya, Tarique turut menyentuh kepentingan memperkukuh kerjasama serantau di Teluk Bengal, khususnya dalam perdagangan, tenaga, pendidikan, teknologi, tindakan iklim dan hal ehwal maritim.
Katanya, kedudukan strategik Bangladesh memberi peluang besar untuk memperluas hubungan ekonomi menerusi pelabuhan, laluan perkapalan, perikanan, pelancongan, tenaga dan rantaian bekalan serantau.
Bangladesh, katanya, akan terus mengutamakan dialog, perkongsian dan saling menghormati ketika bekerjasama dengan rakan serantau serta antarabangsa tanpa mengabaikan kepentingan dan kedaulatan negara. - Agensi