Bantuan RM1,000 bukan untuk lelaki Rohingya, tapi 6 anak warganegara - JKM

Iklan
JKM menjelaskan bahawa penerima manfaat BKK dalam kes berkenaan ialah anak-anak yang layak dan bukannya suami kepada wanita terbabit yang merupakan bukan warganegara. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) berjumlah RM1,000 sebulan yang tular di media sosial bukan diberikan kepada seorang lelaki bukan warganegara, sebaliknya disalurkan kepada enam anaknya yang merupakan warganegara Malaysia dan memenuhi syarat kelayakan.

Menurut JKM, penjelasan itu dibuat susulan isu yang tular bagi mengelakkan kekeliruan berhubung syarat kelayakan serta pelaksanaan bantuan berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, BKK diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan dapat terus tinggal bersama keluarga atau penjaga dalam persekitaran yang selamat, selain meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Penyaluran BKK adalah berdasarkan syarat kelayakan yang telah ditetapkan, termasuk status kewarganegaraan, umur, pendapatan isi rumah dan hasil siasatan kes yang dijalankan pegawai JKM.

Iklan

JKM menjelaskan bahawa penerima manfaat BKK dalam kes berkenaan ialah anak-anak yang layak dan bukannya suami kepada wanita terbabit yang merupakan bukan warganegara.

Menurut jabatan itu, bantuan berkenaan dipertimbangkan berdasarkan kelayakan kanak-kanak serta keadaan sosioekonomi keluarga yang memenuhi syarat, termasuk pendapatan isi rumah di bawah paras yang ditetapkan dan keperluan memastikan kebajikan serta kepentingan terbaik anak-anak terus terpelihara.

Iklan

“Selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan (Bulanan) JKM, kadar BKK adalah minimum RM200 hingga maksimum RM1,000 sebulan berdasarkan bilangan dan umur anak yang layak serta tertakluk kepada syarat dan pertimbangan yang ditetapkan.

“Justeru, JKM telah meluluskan BKK berjumlah RM1,000 sebulan bagi keseluruhan enam anak yang layak dan bukannya RM1,000 bagi setiap anak atau kepada ibu berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, JKM menegaskan setiap permohonan bantuan dinilai secara telus dan profesional berdasarkan siasatan kes, dokumen sokongan, syarat kelayakan serta keadaan sosioekonomi semasa pemohon.

Katanya, semua bantuan kebajikan yang disalurkan tertakluk kepada dasar, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa serta tidak dipengaruhi sentimen atau persepsi awam.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap sehingga menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaan bantuan kebajikan kerajaan.

JKM berkata, pihaknya akan terus komited memastikan bantuan kebajikan disalurkan secara adil, telus dan berintegriti kepada individu serta keluarga yang benar-benar layak, khususnya bagi memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa terpelihara.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa JKM memberikan RM1,000 kepada anak-anak Rohingya sehingga mengundang kecaman warganet.