'Perjuangan akan diteruskan' – Keluarga Wan Ahmad Faris tidak akan berhenti tuntut keadilan

Iklan
Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris akan meneruskan tindakan undang-undang walaupun Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan semula kes kematiannya sebagai NFA.

KOTA BHARU - Ibu bapa Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akan meneruskan perjuangan menuntut keadilan menerusi saluran undang-undang meskipun kes kematian anak mereka sekali lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ibu Allahyarham, Ruhani Hussain berkata, beliau tidak akan berhenti dan menganggap keputusan itu sebagai permulaan baharu dalam usaha mendapatkan keadilan serta jawapan bersabit kematian anaknya.

Iklan
Iklan

"Perjuangan akan diteruskan, saman juga akan difailkan terhadap pihak-pihak berkaitan termasuk sekolah, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan kerajaan Kelantan," katanya.

Allahyarham Wan Ahmad Faris.

Iklan

Beliau berkata, keluarga masih percaya wujud unsur kecuaian yang perlu dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang.

Menurutnya, tindakan undang-undang telah difailkan terhadap kerajaan Malaysia dan pasukan penyiasatan, dengan perbicaraan dijadualkan pada April tahun hadapan.

Iklan

"Kami bukan mencari populariti, tapi mengharapkan kebenaran dapat ditegakkan," katanya.

Terdahulu, selepas melalui penantian panjang untuk mendapatkan jawapan berhubung kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris, keluarganya akhirnya akur dengan keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA kerana tiada individu dapat dipertanggungjawabkan.

Menurut Ruhani, keluarga menghormati keputusan tersebut walaupun siasatan forensik sebelum ini menemui tompokan darah daripada DNA individu lain pada pakaian Allahyarham.

Katanya, pihak berkuasa memaklumkan penemuan itu tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku atau membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian Allahyarham.