Jerat tampil formula berbeza

Iklan
Pekin (kiri) dan Aprena bersama penerbit Jerat, Captain Palani (dua dari kanan) serta pengarah, Roy.

PENGARAH Roy Krishna percaya filem Jerat mampu menawarkan pengalaman sinematik berbeza menerusi gabungan elemen seram, thriller, psikologi dan kekeluargaan yang disifatkan mampu memenuhi cita rasa penonton masa kini.

Menurut Roy, filem dengan kos pembikinan melebihi RM3 juta itu dibangunkan hasil kajian terhadap perkembangan industri filem serta perubahan corak penerimaan penonton yang kini lebih menggemari naskhah dengan elemen ketakutan dan kejutan.

Iklan
Iklan

"Kami mahu filem ini kelihatan lebih bertaraf antarabangsa. Kami turut membuat kajian terhadap pelbagai karya luar negara bagi memahami trend dan cita rasa penonton masa kini.

"Berdasarkan kajian dilakukan, ramai penonton lebih tertarik kepada babak yang mampu menimbulkan rasa takut, cemas dan geli, sekali gus memberikan impak emosi lebih kuat.

Iklan

"Jalan ceritanya juga dibangunkan dengan teliti dan menunjukkan tahap kematangan yang sangat baik," katanya pada majlis pelancaran filem Jerat, baru-baru ini.

Tambah Roy, filem terbitan RedFiress Film Production dengan kerjasama Captain Filmmakers Sdn Bhd itu turut mengetengahkan pendekatan berbeza apabila ancaman yang dihadapi watak-wataknya bukan sekadar berlaku di dalam banglo, sebaliknya berpunca daripada sesuatu yang memerangkap mereka di luar kediaman tersebut.

Iklan

"Biasanya filem seram melibatkan masalah di dalam banglo, tetapi filem ini mengenai ancaman di luar banglo dan bagaimana watak-watak diperangkap oleh jerat.

"Saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada kekuatan visual dan elemen ketakutan apabila penonton berada di pawagam," katanya.

Sementara itu, penulis Epy Kodiang atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi berkata, idea menghasilkan Jerat tercetus daripada keinginannya untuk menghasilkan filem seram yang berbeza daripada kebanyakan naskhah tempatan.

Katanya, inspirasi filem itu diambil daripada kisah-kisah misteri yang sering dikaitkan dengan rumah dan bangunan peninggalan kolonial British di Perak serta Selangor sebelum dikembangkan menjadi sebuah cerita yang membongkar rahsia gelap di sebalik sebuah vila lama.

Jerat mengisahkan Reza yang berpindah bersama isteri, anak serta adik iparnya ke sebuah vila lama di tengah hutan untuk memulakan kehidupan baharu. Namun, ketenangan yang diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka diburu gangguan misteri yang akhirnya membongkar rahsia hitam di sebalik vila berkenaan.

Dalam pada itu, Pekin Ibrahim mengakui antara faktor yang mendorongnya menerima tawaran berlakon adalah kerana mahu bekerjasama buat kali pertama dengan Roy selain tertarik dengan kekuatan skrip yang dihasilkan Epy.

"Sebagai pelakon saya suka meneroka dan bekerja dengan ramai pengarah. Untuk Jerat, saya tak pernah bekerja dengan Roy. Setiap pengarah ada sentuhan yang berbeza.

"Saya rasa skrip tulisan Epy untuk Jerat adalah antara penulisan dia yang paling matang walaupun kita mengenalinya sebagai pelawak sebelum ini. Gabungan pelakon dan influencer juga merupakan satu kelainan yang mampu menarik penonton," katanya.

Jerat menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Pekin Ibrahim, Aprena Manrose, Stacy, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim serta Razib Salimin.

Penggambaran Jerat dijadualkan berlangsung selama 30 hari bermula Ogos hingga September ini di beberapa lokasi sekitar Selangor, Johor, Perak dan Pahang.