BANTING - Suspek kes tikam seorang pelajar sekolah di sini direman selama empat hari bermula Selasa.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tempoh reman selama empat hari itu dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Vijeswari Devi, ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU).
Sebelum itu, pekarangan Mahkamah Telok Datok di sini menjadi tumpuan petugas media bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung reman suspek kes tikam pelajar sebuah sekolah di Banting.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan kena tikam di sekolah
Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis-JPN
Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis
'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah
Tinjauan Sinar Harian bermula jam 8.30 pagi mendapati kira-kira 20 pengamal media berada di lokasi.
Bagaimanapun, suspek yang juga pelajar sekolah terbabit berusia 15 tahun tidak kelihatan.
Sinar Harian difahamkan suspek telah dibawa masuk ke kawasan mahkamah kira-kira jam 8.10 pagi menaiki kenderaan polis sebelum keluar kira-kira jam 9 pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada Isnin, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga berusia 15 tahun cedera selepas ditikam di beberapa bahagian badan dalam insiden yang mengejutkan warga sekolah.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan dari arah surau sebelum kejadian berlaku.
Suspek yang memakai kemeja-T hitam difahamkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu dan sedang menjalani rawatan kesihatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.