PERSIAPAN Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 terus diperkukuh apabila penganjuran temasya sukan itu berjaya memperoleh tajaan hampir RM8 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, jumlah tajaan itu merangkumi sumbangan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 17 GLC negeri serta syarikat swasta.
“Setakat hari ini, jumlah tajaan yang telah kita peroleh mencecah hampir RM8 juta. Sinergi yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan kelancaran setiap aspek penganjuran temasya sukan dwitahunan ini,” katanya dalam sidang media Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Mardhiyyah Hotel & Suites, di sini, Shah Alam pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor 2026, Datuk Mohd Yazid Sairi, dan Pengarah Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor 2026, Mohamad Nizam Marjugi.
Mohd Najwan berkata, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor), Nestlé Malaysia menerusi jenama MILO dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) merupakan penaja kategori platinum dengan nilai tajaan keseluruhan melebihi RM4 juta.
Ujarnya, kategori emas pula melibatkan Koridor Utiliti Negeri Selangor (KUSEL) dan Infrasel yang masing-masing menyumbang tajaan tunai RM500,000, selain sokongan daripada Marathon (Mesuma Sports Sdn Bhd), Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) dan Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).
“Kategori perak pula menerima sokongan dan tajaan daripada Yonex menerusi Sunrise Sports Sdn Bhd, diikuti Airbnb yang menaja penyewaan penginapan serta menawarkan kadar diskaun istimewa kepada atlet dan kontinjen.
“Bagi kategori gangsa, kita menerima tajaan daripada Fraser & Neave Holdings Bhd (100PLUS), Asia Pacific Sports Sdn Bhd (Molten) dan Innotex System Corporation Sdn Bhd (Seiko), yang akan mengendalikan catatan masa dan pungutan mata,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh persiapan menerusi penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), yang membelanjakan lebih RM50 juta bagi kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekretariat SUKMA Selangor 2026 berkata, usaha berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet yang bertanding, malah akan menjadi legasi kemudahan sukan untuk kegunaan orang ramai dan persatuan sukan pada masa hadapan.
Mengulas perkembangan persiapan temasya itu, Mohd Najwan berkata, persiapan keseluruhan SUKMA Selangor 2026 kini telah melepasi tahap 90 peratus, dengan tumpuan akhir diberikan kepada perancangan majlis perasmian yang dijangka diadakan sama ada di Dataran Kemerdekaan Shah Alam atau Pusat Konvensyen Setia City (SCCC). - Bernama
INFO
SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung pada Ogos ini dengan mempertandingkan 469 acara menerusi 37 jenis sukan.