IPOH - Polis masih menunggu laporan forensik telefon bimbit suspek bagi melengkapkan kertas siasatan kes penyebaran kandungan berunsur fitnah dikaitkan dengan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah susulan penemuan pendaki, Jaslinda Saludin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan kes itu telah selesai dan polis kini hanya menunggu laporan forensik berkenaan sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Terdahulu, lelaki berusia lingkungan 30-an yang direman selama empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kes fitnah itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Lelaki itu sebelum ini tular menerusi satu siaran langsung apabila mendakwa Mohd Asmadi 'menyimpan' Jaslinda selama dua minggu dan akan berkahwin dengan pendaki wanita itu jika perkara terbabit tidak tular
Sebelum itu, suspek dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka melalui rakaman video susulan kontroversi membabitkan hantaran berkenaan.
Dakwaan itu juga telah mendorong kira-kira 50 Tok Batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd Asmadi.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata polis telah mengenal pasti suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap dua anggota polis di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama pada 23 Jun lepas.
"Polis sedang berusaha giat mengesan dan percaya suspek masih berada di kawasan tempatan.
"Anggota yang cedera dalam kejadian itu masih dalam cuti sakit bagi menjalani proses pemulihan berikutan kecederaan yang dialami selepas dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari pada 23 Jun lepas, seorang anggota berpangkat sarjan berusia 44 tahun dan seorang konstabel berusia 27 tahun cedera pada beberapa bahagian badan termasuk kepala, muka dan lengan selepas diserang ketika melakukan pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah.
Suspek dipercayai bertindak agresif dengan menyerang kedua-dua anggota menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian. - Bernama