PUTRAJAYA – Keupayaan negara menyediakan bekalan makanan sendiri menunjukkan tanda kelemahan apabila dimensi ketersediaan dalam Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia 2024 merosot kepada 50.0 berbanding 54.3 pada tahun sebelumnya, meskipun prestasi keseluruhan keterjaminan makanan negara meningkat ke tahap terbaik sejak 2013.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu dipengaruhi oleh beberapa indikator utama termasuk import dan eksport pertanian makanan utama, kerugian lepas tuai serta bekalan tenaga tersedia per kapita mengikut kumpulan makanan terpilih.
"Antara indikator utama, bekalan tenaga tersedia per kapita mencatatkan skor tertinggi iaitu 58.7 (2023: 60.0), diikuti eksport pertanian makanan utama 55.1 (2023: 55.7) dan pengeluaran pertanian makanan utama 54.3 (2023: 44.3)," katanya menerusi Program Simfoni Data dan Media: Wacana Khas di sini pada Isnin.
Ujar beliau, dimensi ketersediaan khususnya pengeluaran dalam negara masih mempunyai banyak ruang untuk diperkukuh.
“Ini sebabnya fokus ekonomi pada masa akan datang perlu memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian. Saya jangka langkah itu akan membantu meningkatkan lagi Indeks Keterjaminan Makanan negara,” jelasnya.
Menurutnya, Laporan Awalan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia juga menunjukkan skor keseluruhan indeks meningkat kepada 61.5 pada 2024 berbanding 54.5 pada 2023, sekali gus meletakkan tahap keterjaminan makanan negara pada prestasi yang baik.
"Peningkatan itu didorong terutamanya oleh dimensi kebolehcapaian yang melonjak kepada 79.9 daripada 59.6 tahun sebelumnya selain peningkatan dimensi kestabilan kepada 54.6 dan penggunaan kepada 50.4," jelasnya.
Mohd Uzir berkata, laporan yang diterbitkan buat julung kali itu merupakan medium baharu bagi mengukur prestasi keterjaminan makanan negara secara sistematik berasaskan data rasmi serta sejajar dengan amalan dan kerangka pengukuran antarabangsa.
Menurutnya, laporan tersebut merangkumi 25 indikator utama yang meliputi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan, selain memaparkan analisis skor indeks bagi tempoh 2013 hingga 2024.
Katanya, penyusunan indeks keterjaminan makanan di peringkat nasional kini menjadi amalan yang semakin meluas dalam kalangan negara sebagai mekanisme pemantauan bagi menyokong perancangan, pelaksanaan dan penambahbaikan dasar berkaitan sistem makanan.
"Indonesia menggunakan Food Security and Vulnerability Atlas (FSVA), manakala United Kingdom memperkenalkan UK Food Security Index 2024 untuk menilai kedudukan dan trend keterjaminan makanan negara itu.
"Kanada dan Australia turut menggunakan kerangka indikator keterjaminan makanan bagi mengukur prestasi serta daya tahan sistem makanan masing-masing," katanya.
Menurut Mohd Uzir, Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh sistem pemantauan keterjaminan makanan negara berasaskan data dan bukti.
"Ia bukan sahaja memberikan isyarat awal terhadap cabaran semasa dan masa hadapan, malah mengenal pasti keperluan intervensi strategik bagi memperkukuh sistem makanan negara yang mencukupi, stabil dan mampan untuk jangka panjang.
"Indeks ini juga menjadi rujukan utama dalam merangka serta memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.