IPOH - Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes serangan terhadap dua anggota polis di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama pada 23 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan lelaki terbabit dipercayai masih berada di dalam negeri ini.
“Kita dah kenal pasti suspek dan dalam usaha mengesan mereka. Belum ada tangkapan setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.
Menurutnya, dua anggota polis yang cedera dalam kejadian tersebut kini masih bercuti sakit dan sedang berehat di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital.
“Kecederaan dialami agak teruk dan kita beri tempoh cuti yang panjang untuk pemulihan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang sarjan berusia 44 tahun dan konstabel berusia 27 tahun dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala, muka dan lengan.
Insiden berlaku ketika kedua-dua anggota tersebut menjalankan pemeriksaan sebelum suspek yang dipercayai penagih dadah bertindak agresif dengan menyerang menggunakan senjata tajam.
Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus selepas serangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.