BANTING – Tuah menyebelahi seorang pengawal keselamatan apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 selepas muncul juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor yang berlangsung di Pantai Kelanang di sini pada Ahad.
Mohd SaifulIzwan Mohd Soleh, 25, dari Kedah berkata, kemenangan itu menjadi detik paling bermakna selepas lebih dua tahun berusaha menyertai pelbagai pertandingan memancing tanpa pernah meraih kejayaan besar.
Katanya, impian untuk bergelar juara akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.765 kilogram (kg) pada balingan pertama tepat jam 8.14 pagi.
“Saya telah berusaha lebih dua tahun tanpa kenal lelah. Setiap kali pertandingan diadakan di Pantai Kelanang, saya pasti akan ambil bahagian.
“Malah, kerana minat, saya turut sertai pertandingan memancing di negeri lain, namun belum pernah peroleh hasil yang diharapkan.
“Alhamdulillah, hari ini merupakan hari paling menggembirakan saya sebagai pemancing,” katanya yang menggunakan umpan udang hidup untuk menjinakkan ikan berkenaan.
Tempat kedua dimenangi Mohammad Hakimi Akil yang berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.745kg sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Muhammad Ikhwan Shafiq Abd Aziz menerusi tangkapan ikan semilang seberat 0.675kg yang melayakkannya menerima hadiah RM1,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Penghulu Mukim Morib/Kelanang, Sharip Ahmad.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kelanang, Amhairi Mohamad Yulah dan Pengerusi Penggerak, Ahmad Roslan Kiran.
Pertandingan anjuran Penggerak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu disertai seramai 391 pemancing dari seluruh negara termasuk Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sementara itu, Ahmad Roslan berkata, pihaknya akan terus mempromosikan Pantai Kelanang sebagai destinasi memancing bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 berikutan sambutan menggalakkan daripada komuniti pemancing.
“Insya-ALLAH, pertandingan memancing akan diadakan sekali lagi di sini pada awal November nanti.
“Malah, kami juga sedang merancang untuk menganjurkan pertandingan memancing parit secara tradisional,” katanya.