PENJELASAN Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung dakwaan kemasukan pelajar antarabangsa mengurangkan peluang pelajar tempatan memasuki universiti awam memperlihatkan satu pertembungan antara persepsi politik dan realiti statistik.
Dalam isu yang menyentuh masa depan pendidikan Malaysia, fakta dan data seharusnya menjadi asas kepada perbahasan, bukannya persepsi semata-mata.
KPT tampil menepis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah, dengan mengemukakan angka enrolmen yang menunjukkan pelajar antarabangsa hanya mewakili 8.9 peratus daripada keseluruhan pelajar di universiti awam.
Lebih penting, hanya 3.44 peratus daripada enrolmen prasiswazah terdiri daripada pelajar antarabangsa, manakala majoriti mereka berada di peringkat pascasiswazah.
Kehadiran pelajar antarabangsa pada peringkat pra-siswazah adalah kecil dan tidak menyokong dakwaan bahawa mereka menjadi punca kekurangan tempat untuk pelajar Malaysia.
Pada masa sama, angka yang lebih tinggi bagi pelajar antarabangsa di peringkat pascasiswazah bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi kuota, malah menyumbang kepada penerbitan ilmiah, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan peningkatan kedudukan universiti dalam penarafan global.
Dari sudut dasar, penjelasan KPT juga mengingatkan bahawa agenda pengantarabangsaan bukan dasar baharu yang diwujudkan secara tergesa-gesa.
Ia telah menjadi sebahagian daripada strategi negara sejak lebih dua dekad lalu bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau.
Dalam konteks persaingan global, hampir semua negara yang mahu membangunkan universiti bertaraf dunia berlumba-lumba menarik pelajar antarabangsa kerana ia membawa manfaat akademik, ekonomi dan diplomatik.
Apa yang sering menjadi persoalan ialah sama ada pertambahan pelajar asing berlaku ketika kapasiti universiti awam untuk menerima pelajar tempatan masih belum mencukupi, khususnya dalam program berpermintaan tinggi seperti perubatan, farmasi, undang-undang dan kejuruteraan.
Isu sebenar mungkin bukan mengenai jumlah pelajar antarabangsa, tetapi kapasiti, pembiayaan dan kemampuan universiti menampung permintaan yang semakin meningkat.
Dalam hal ini, KPT perlu terus meningkatkan ketelusan dengan menerbitkan data secara berkala mengikut program pengajian, bidang kritikal dan kadar penerimaan pelajar tempatan berbanding pelajar antarabangsa.
Pendekatan sedemikian dapat mengelakkan manipulasi angka dan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem kemasukan universiti.
Dakwaan bahawa terdapat lebih 32,000 pelajar dari China di universiti awam juga memerlukan penjelasan lebih terperinci.
Walaupun angka itu mungkin benar dari segi jumlah keseluruhan mengikut kewarganegaraan, ia tidak boleh dijadikan bukti bahawa peluang pelajar tempatan telah terjejas tanpa melihat pecahan mengikut peringkat pengajian, bidang dan universiti.
Statistik yang dipetik secara terasing mudah menimbulkan salah faham jika tidak diberikan konteks yang lengkap.
Keseluruhannya, polemik ini memperlihatkan kepentingan komunikasi dasar yang lebih berkesan antara kerajaan dan masyarakat.
Dalam era media sosial, angka yang dipersembahkan tanpa konteks mudah membentuk persepsi negatif.