SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sikap berdiam diri pihak kerajaan berhubung beberapa isu semasa membabitkan dakwaan salah laku, termasuk dakwaan kewujudan 'mafia korporat' dan laporan agensi berita antarabangsa, Bloomberg.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan tindakan parti-parti politik yang didakwa berpakat untuk menjatuhkan beliau.
Ahmad Fadhli mendakwa, situasi yang berlaku pada hari ini adalah berbeza berbanding sewaktu Perdana Menteri berada di blok pembangkang dahulu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menambah, sekiranya pihak kerajaan benar-benar serius dalam usaha membanteras gejala rasuah, tindakan mahkamah sewajarnya telah diambil terhadap agensi berita asing berkenaan atas laporan yang dikeluarkan sebelum ini.
"Jika benar Datuk Seri serius untuk membanteras rasuah, tidak akan timbul isu mafia korporat dan Bloomberg tentu sekali akan disaman di mahkamah atas pelbagai tohmanan terhadap kerajaan. Isunya, kenapa krik krik (senyap)," ujar beliau lagi.
Hantaran tersebut dibuat sebagai maklum balas kepada tangkap layar sebuah artikel portal berita bertajuk"Anwar: Kenapa semua parti pakat mahu jatuhkan saya?" yang diterbitkan pada hari yang sama.