KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM3.5 juta tahun ini bagi memperkasa dan menyemarakkan tiga sukan teras terdiri bola sepak, bola jaring dan sepak takraw dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta diperuntukkan untuk bola sepak, RM1 juta bagi bola jaring dan RM500,000 untuk sepak takraw.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bersetuju menambah peruntukan bola jaring sebanyak RM500,000 lagi tahun hadapan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM1.5 juta.
"Saya berharap penambahan peruntukan ini akan menyemarakkan lagi kejohanan bola jaring dan menggalakkan lebih ramai anak muda aktif dalam sukan ini.
"Ketika ini Pahang berada di tempat kedua di peringkat kebangsaan dan saya berharap kita mampu muncul sebagai negeri nombor satu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Liga Bola Jaring Pahang 1st Piala YAB Menteri Besar Pahang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini pada Ahad.
Turut hadir Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri,Fadzli Mohamad Kamal dan Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Kejohanan Bola Jaring Pahang 1st yang julung kali dianjurkan kerajaan negeri itu menyaksikan penyertaan 42 pasukan dengan pasukan Semambu muncul sebagai juara.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sukan kerana percaya aktiviti tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, malah menjadi medium terbaik untuk memupuk perpaduan.
Beliau berkata, pelbagai sukan diberi perhatian supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat di setiap daerah di negeri ini.
"Kita bukan sekadar menganjurkan program bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Apa yang kita laksanakan dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan.
"Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 11 daerah dengan jarak yang jauh. Sudah tentu ia memerlukan peruntukan yang besar, namun kerajaan negeri komited memastikan pembangunan sukan terus diperkasakan," ujar beliau.
Menurut Wan Rosdy lagi, kemampuan kerajaan negeri menambah peruntukan itu membuktikan kedudukan kewangan negeri berada pada tahap kukuh, namun setiap perbelanjaan tetap dilaksanakan secara berhemah.
"Kita akan terus memastikan kebajikan rakyat, pendidikan, riadah dan sukan diberi perhatian secara seimbang.
"Kita percaya sukan memberi impak besar terhadap perpaduan masyarakat dan mungkin antara faktor yang menyumbang kepada Pahang muncul sebagai negeri yang mencatat indeks perpaduan terbaik di negara ini," katanya.
Beliau turut memberi bayangan kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian peruntukan kepada sukan tradisional seperti gasing pada masa akan datang bagi terus memperluaskan pembangunan sukan di Pahang.