Kolej didakwa tidak semak rekod lampau suspek kes cabul, liwat remaja

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 4 Julai 2026.

SHAH ALAM -Pihak pengurusan sebuah kolej swasta di Glenmarie dipercayai tidak membuat semakan rekod lampau jenayah terhadap seorang kakitangannya yang ditahan sebelum ini kerana disyaki mencabul dan meliwat dua remaja lelaki berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, hasil semakan awal mendapati suspek telah berkhidmat di kolej berkenaan kira-kira dua tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat awal yang diperoleh daripada kakitangan kolej mendapati pihak pengurusan tidak membuat semakan rekod lampau jenayah ketika proses pengambilan pekerja sehingga tidak mengetahui suspek mempunyai rekod berkaitan kesalahan seksual.

"Rakaman percakapan pihak pengurusan kolej akan diambil bagi mengesahkan perkara itu serta membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Iklan

"Setakat ini, polis telah mengambil rakaman percakapan daripada dua saksi iaitu pengadu dan bapa suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, rakaman percakapan beberapa lagi saksi berkaitan sedang diatur bagi melengkapkan siasatan.

Iklan

"Suspek kini masih direman dan siasatan diteruskan termasuk melengkapkan rakaman percakapan saksi.

"Selain itu polis turut mendapatkan bukti digital serta laporan perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 42 tahun diberkas selepas disyaki mencabul dan meliwat dua remaja lelaki berusia 15 tahun dalam kejadian berasingan di Shah Alam.

Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan seksual.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.