HULU SELANGOR - Empat mayat mangsa kejadian kepala air di Lata Jebus, Sungai Luit, Kampung Pertak, berjaya dibawa keluar dari lokasi penemuan pada jam 11.15 pagi tadi, manakala tiga lagi mangsa masih hilang.
Tinjauan di lokasi mendapati tiga mayat ditemukan tersangkut di tebing sungai berhampiran Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari lokasi kejadian di Lata Jebus, pada jam 9.20 pagi.
Satu lagi mayat ditemukan kira-kira jam 10.20 pagi berhampiran sebuah jambatan gantung, terletak 50 meter dari Jambatan Senget atau kira-kira satu kilometer dari Lata Jebus.
Kesemua mayat kemudian dibawa ke Pos Kawalan Hadapan Bomba di Kampung Pertak selepas operasi mengeluarkan mangsa selesai pada jam 11.15 pagi.
Identiti keempat-empat mangsa masih belum dikenal pasti.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak pada jam 1.30 pagi tadi.
Penemuan itu menjadikan lima daripada lapan mangsa yang dilaporkan dihanyutkan arus sudah ditemukan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang hilang.