JOHOR BAHRU – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menyertai mana-mana parti politik selepas meninggalkan UMNO.
Menurut bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, fokusnya ketika ini bukan kepada politik kepartian, sebaliknya kepada usaha memperjuangkan politik yang lebih seimbang dan bebas.
"Saya tidak bincang lagi dan saya tidak fikir apa-apa. ALLAH sahaja yang tahu," katanya ketika ditemui pada program Dialog Terbuka Belia Johor anjuran Pakatan Harapan (PH) di Felda Ulu Tebrau di sini, malam Sabtu.
Kehadiran beliau pada majlis tersebut mencuri perhatian apabila disambut mesra oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersalaman sebelum kedua-duanya berpelukan.
Dalam ucapannya, penyandang kerusi DUN Rengit itu berkata, beliau hadir sebagai satu sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik selain sebagai sahabat lama Anwar.
Mohd Puad berkata, keputusannya untuk hadir bukan sesuatu yang mudah, namun dilakukan kerana PH dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
"Bukan senang nak pujuk saya, saya datang kerana beliau (Anwar) sahabat lama. Ringkas sahaja, saya naik ke pentas PH ni sebab PH adalah Kerajaan Perpaduan, BN pun Kerajaan Perpaduan.
"Tak ada salahnya, apatah lagi saya bukan lagi ahli UMNO," katanya.
Mohd Puad berkata, beliau menerima pelbagai kecaman sejak membuat hantaran menyokong calon PH DUN Rengit semalam, dengan ada pihak mendakwa beliau mengkhianati perjuangan UMNO.
Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus memperjuangkan keberanian dalam berpolitik.
"Ada seseorang hina saya kata 'kalau masuk DAP kan lagi senang'. Tak apalah, yang penting saya akan teruskan keberanian politik supaya politik yang seimbang dan bebas di Johor ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbitnya sebelum ini dirampas polis bagi membantu siasatan susulan 153 laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan yang didakwa mengaitkan institusi diraja dengan pembubaran DUN Johor serta pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang baru menerima semula telefon bimbitnya kelmarin turut memaklumkan sudah dipanggil pihak polis bagi diambil keterangan.
"Saya sudah dipanggil polis dalam dua tiga hari selepas laporan polis dibuat ke atas saya.
"Saya beri keterangan 10 minit sahaja sebab saya akan jawab di mahkamah nanti," katanya.
Pada 25 Jun lalu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dengan mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan, selain mendakwa UMNO Johor dikawal oleh pihak istana dalam menentukan keputusan tertentu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad keluar daripada UMNO adalah kerana anak lelakinya tidak diletakkan sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.
Mohd Puad menang kerusi DUN Rengit pada PRN Johor 2022 dengan majoriti undi sebanyak 1,920.
Beliau memperoleh 7,903 undi secara keseluruhan, menewaskan tiga calon lain daripada Perikatan Nasional, PKR, dan Pejuang.