KULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh pengundi Johor, termasuk yang berada di luar negeri dan Singapura supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Anwar berkata, setiap undi amat penting dalam menentukan hala tuju negeri serta masa depan rakyat, justeru kegagalan keluar mengundi hanya akan merugikan diri sendiri.
"Kalau kita tak mengundi, orang tak sokong kita, rugi kita. Ini bukan selalu, empat atau lima tahun sekali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kita Geng MADANI Anak Muda Bukit Batu di Jalan Tropika di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyindir tindakan Johor mengadakan PRN lebih awal sebelum tamat tempoh penggal pentadbiran.
Katanya, ada pihak menyangka pilihan raya lebih awal akan memberi kelebihan kepada mereka untuk menang, namun keputusan sebenar hanya akan ditentukan oleh rakyat.
"Johor tak sabar, belum empat tahun dah ajak pilihan raya. Mereka ingat lagi cepat lagi banyak boleh menang. Belum tentu. Lagi cepat, lagi banyak dia akan kalah!" katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, Kerajaan Madani sentiasa bersedia mendengar pandangan dan kritikan rakyat, namun meminta supaya diberikan ruang dan masa untuk melaksanakan agenda pembaharuan yang dirancang.
Beliau berkata, meskipun kerajaan baharu beberapa tahun mentadbir pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu rakyat, termasuk penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Orang sudah sokong Kerajaan Madani, kita bantu apa yang ada kerana kita tak berani, tak benarkan orang sakau rakyat punya duit! Duit balik pada rakyat.
"Tapi, you kena beraturkah SARA? Tak ada. You kena beraturkah STR? Tak ada. Ada family dapat RM1,400, you beratur? Tak ada.
"Ada yang tinggi, kalau anak ramai sampai RM1,800. Tak ada beratur. Ini zaman moden! Masuk akaunlah, tak tahukah? Kalau tak tahu, tukar kerajaanlah!" katanya berseloroh.