KUALA NERUS - Saya berenang kira-kira satu batu (1.8 kilometer) untuk mendapatkan bantuan daripada bot lain.”
Demikian detik mencemaskan yang dikongsi tekong bot, Mohd Awais Sa’ari selepas bot candat sotong yang dinaikinya bersama 11 individu lain karam di perairan Terengganu pada Jumaat.
Mohd Awais berkata, keputusan itu terpaksa dibuat selepas sebuah bot awam tidak dapat dikesan berhampiran lokasi kejadian ketika kesemua mangsa sedang terapung di tengah laut.
Menurutnya, sebelum berenang mendapatkan bantuan, beliau meminta penumpang lain memegang kru bot, Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37, yang ketika itu berada dalam keadaan lemah.
“Saya minta semua pelanggan memegang arwah supaya dia tidak tenggelam, kemudian saya berenang kira-kira satu batu (1.8 kilometer) untuk mendapatkan bantuan daripada bot lain,” katanya ketika ditemui di Jeti Kampung Batin, Seberang Takir, pada Sabtu.
Beliau berkata, bot yang membawa 12 individu termasuk kru yang maut itu berada dalam keadaan baik sebelum kejadian malah digunakan hampir setiap hari bagi aktiviti mencandat sotong sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, petanda awal masalah berlaku apabila beliau melihat air masuk dalam jumlah yang banyak ke bahagian enjin bot ketika berada di tengah laut.
“Saya cuba ikhtiar dengan menyuruh arwah memotong tali sauh dan cuba menggerakkan bot untuk mendapatkan bantuan, namun tidak sempat sebelum bot itu tiba-tiba karam,” katanya.
Mohd Awais berkata, sebelum bot karam sepenuhnya, semua penumpang sempat memakai jaket keselamatan dan berada dalam keadaan tenang hasil tindakan pantas Ahmad Nasaruddin.
ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam ketika candat sotong: Nelayan maut sempat potong tali sauh selamatkan 11 nyawa
'Sebelum meninggal dunia, adik sempat tolong semua penumpang'
“Arwah sempat meminta semua penumpang memakai jaket keselamatan dan menenangkan mereka,” katanya.
Beliau berkata, keadaan menjadi semakin kritikal apabila bot berkenaan karam sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 15 hingga 20 minit sehingga memaksa kesemua mangsa berpaut dan terapung di tengah laut hampir sejam.
“Selepas bot karam, semua orang terapung. Saya cuba menenangkan mereka termasuk 10 pelanggan saya.
“Dalam keadaan itu, saya sedar arwah semakin lemah, jadi saya minta dia berpaut di belakang saya,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Awais berkata, beliau kemudian menyedari Ahmad Nasaruddin semakin lemah sebelum mulutnya mula berbuih dan pemeriksaan nadi mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah bot candat sotong yang membawa 12 individu terdiri daripada pelanggan dan kru karam di tengah laut kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.
Insiden itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin, manakala 11 lagi mangsa berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga individu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut.
Menurutnya, dua daripada mereka menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang manakala seorang lagi masih menerima rawatan susulan.
Beliau berkata, ruang enjin bot dimasuki air ketika berada di tengah laut kira-kira jam 8.40 malam sebelum air naik terlalu cepat dan menyebabkan bot berkenaan karam.