BAGI kaki pancing, setiap trip ada ceritanya tersendiri sama ada suka atau duka, ia tetap menjadi momen berharga yang disimpan dalam seribu kenangan.
Ada ketika pulang dengan hasil lumayan, namun kadangkala pulang dengan cerita lucu dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Itulah yang dirasai Rehab Anglers menerusi trip candat di Pantai Timur pada Mei lalu.
Disertai 13 ahli kumpulan, mereka turun ke laut melalui jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, Terengganu dengan satu misi utama iaitu mahu merasai sendiri pengalaman mencandat sotong, sesuatu yang majoriti ahli kumpulan belum pernah merasainya.
Ketua Jabatan Pengurusan & Perkhidmatan, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Rozairy Muszali menjelaskan, idea untuk mencandat sebenarnya sudah lama bermain di fikiran mereka dan perancangan sudah pun dibuat sejak dua tahun lalu, namun sering tertangguh akibat kekangan masa.
“Majoriti ahli Rehab Anglers tak pernah mencandat sotong. Jadi kami rasa ini peluang terbaik untuk cuba sesuatu yang baru.
“Selain mencari pengalaman baharu, trip ini juga bertujuan mengeratkan ukhuwah sesama anggota. Sebelum ini, Rehab Anglers lebih banyak menganjurkan trip memancing ikan di kelong, bot atau tepi pantai,” katanya kepada Sinar Harian.
Persiapan sebelum trip juga bukan calang-calang. Mereka membuat kajian sendiri melalui platform media sosial seperti YouTube dan TikTok, selain mendapatkan tunjuk ajar daripada tekong bot mengenai teknik serta peralatan sesuai untuk mencandat.
Perjalanan ke Marang dengan berkongsi dua kenderaan iaitu Nissan Navara dan Toyota Innova. Walaupun perjalanan jauh, keterujaan untuk turun ke laut mengatasi segala-galanya.
Bagaimanapun ujarnya, seperti biasa teori tidak semestinya sama dengan realiti.
“Pada awal sesi mencandat, tali perambut yang disediakan sendiri langsung tidak menjadi. Sotong seolah-olah ‘buat tak tahu’ dengan umpan yang dihulurkan.
“Nasib baik tekong pantas membantu. Dia mengajar cara menyediakan tali perambut yang lebih sesuai serta teknik mencandat yang betul. Hasilnya seorang demi seorang mula berjaya menaikkan sotong.
“Ada yang dapat sotong besar, ada yang kecil. Semuanya tetap menggembirakan dan semuanya tidak 'kumpau',” katanya.
Sudah tentu, trip laut tidak lengkap tanpa drama mabuk laut. Mujurlah hanya beberapa orang yang tewas dengan alunan ombak, manakala yang lain terus gigih memburu sotong idaman.
Bermula 5 petang hingga ke 7 pagi tanpa mengenal penat, Rehab Anglers berjaya menaikkan 40 kilogram sotong.
Mungkin bagi otai candat, angka itu sederhana sahaja, tetapi bagi trip pertama mereka, ia cukup membanggakan.
Lebih manis ujarnya, semua peserta pulang dengan senyuman.
“Tidak ada istilah serik, malah semuanya sudah mula bercakap tentang trip seterusnya pada 2027.
“Bagi penganjur, inilah nilai sebenar sesebuah trip memancing. Setiap trip takkan pernah sama dari segi pengalaman dan hasil. Rezeki itu milik ALLAH, tugas kita hanya berusaha,” jelasnya.
Benar, kadangkala yang paling berharga bukanlah hasil tangkapan, tetapi kenangan, persahabatan dan rasa syukur dapat menikmati keindahan ciptaan-NYA di tengah lautan.