NARATHIWAT - Kerajaan Thailand pada Jumaat menyampaikan pampasan berjumlah 650,000 baht (kira-kira RM80,000) kepada seorang daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian letupan bom di Daerah Tak Bai pada 29 Jun lepas.
Gabenor Narathiwat, Boonchuay Homyamyen berkata, Kerajaan Thailand amat kesal dengan kejadian yang menyebabkan kedua-dua rakyat Malaysia itu cedera dan memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan bagi melindungi penduduk serta pelancong.
ARTIKEL BERKAITAN: Insiden bom Tak Bai: Thailand jamin keselamatan rakyat Malaysia
Dua rakyat Malaysia cedera terkena letupan bom di Tak Bai mahu dapatkan rawatan di Kota Bharu
Insiden Tak Bai: Polis sahkan kawalan ketat sempadan
Kawalan sempadan diperkukuh susulan insiden letupan di selatan Thailand
'Semasa letupan saya tertidur dalam kereta'
Boonchuay berkata, pampasan berkenaan disalurkan menerusi dana Kerajaan Thailand bagi membantu mangsa insiden berkaitan keselamatan, termasuk pampasan bagi kecederaan dan kerosakan harta benda.
Terdahulu, beliau menyampaikan cek pampasan itu kepada Muhammad Yusri Udin, dalam satu majlis di Pejabat Kastam Sungai Golok di sini.
Pada 29 Jun lepas, Muhammad Yusri, 38, dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di Daerah Tak Bai pada kira-kira pukul 11.40 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa Thailand berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu bukan sasaran serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak.
Susulan kejadian itu, seorang suspek berusia 40 tahun telah ditahan dan pasukan keselamatan Thailand melancarkan siasatan menyeluruh, termasuk menjalankan operasi pelupusan bahan letupan dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian. - Bernama