IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kilang terselamat selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter sebuah bangunan kilang simen di Kawasan Perindustrian Tasek di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.50 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
"Ketua operasi dimaklumkan mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di atas silo kilang sebelum terjatuh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan mengarahkan anggota bomba membawa mangsa turun dengan mendukung dan memapahnya ke ambulans.
Mangsa kemudian diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM manakala operasi tamat sepenuhnya pada 6.26 petang. - Bernama