ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 40 orang maut dan 20 yang lain cedera selepas sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung di daerah Sherani di wilayah Balochistan barat daya Pakistan pada Jumaat, menurut pegawai tempatan, lapor Xinhua.
Penolong Ketua Menteri Hal Ehwal Politik dan Media Balochistan, Shahid Rind, berkata, angka kematian meningkat selepas beberapa mangsa yang cedera meninggal dunia ketika dibawa ke hospital dan menjalani rawatan.
Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya daerah Hazrat Wali Kakar berkata kemalangan itu berlaku di kawasan Dhana Sar di Sherani, berhampiran sempadan antara daerah Sherani Balochistan dan daerah Dera Ismail Khan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Polis dan pasukan penyelamat dari kedua-dua daerah bergegas ke lokasi dan menghantar mayat serta mangsa yang cedera ke hospital berdekatan.
Menurut pegawai penyelamat, wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban dalam nahas itu.
Polis tempatan berkata insiden itu berlaku selepas pemandu hilang kawalan di selekoh tajam di kawasan pergunungan ketika ia menuju daerah Peshawar barat laut dari ibu kota wilayah Balochistan, Quetta.
Kerajaan wilayah Balochistan menzahirkan dukacita atas kehilangan nyawa dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa manakala Ketua Menteri Sarfraz Bugti mengarahkan jabatan berkaitan menyediakan rawatan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera. - Bernama