PUTRAJAYA - Cubaan beberapa warga asing yang dipercayai disenaraihitam daripada memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak diwartakan atau lorong tikus di sempadan Kelantan gagal apabila mereka diberkas dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Khamis.
Operasi bermula kira-kira jam 5.10 pagi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Bharu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Kelantan dengan kerjasama Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas sebelum menahan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.
"Kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 55 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Zakaria berkata, pihaknya turut menyita empat pasport Bangladesh, empat pasport Indonesia serta sebuah kereta Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.
"Siasatan awal mendapati terdapat antara individu yang ditahan dipercayai telah disenaraihitam daripada memasuki Malaysia, namun bertindak menggunakan laluan tidak diwartakan bagi mengelakkan pemeriksaan imigresen," katanya.
Katanya, kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
"JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran dan mengekang kemasukan pendatang asing secara haram demi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara," katanya.