Teknologi analitik senjata baharu SPRM, NFCC banteras jenayah kewangan

Iklan
Shamshun (kanan) mengadakan kunjungan hormat kepada Abd Halim di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Jumaat. - FOTO: SPRM

PUTRAJAYA – Keberkesanan membanteras jenayah kewangan melalui perkongsian data, kepakaran dan penggunaan teknologi analitik dipertingkatkan menerusi pengukuhan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, antara fungsi utama NFCC ialah melaksanakan aktiviti risikan menerusi sistem data berpusat (National Financial Intelligence System), selain memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan jenayah kewangan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara fokus utama NFCC meliputi jenayah penipuan, rasuah, pengedaran dadah, jenayah terancang, penyeludupan serta jenayah berkaitan alam sekitar.

“NFCC turut memperoleh dan mengendalikan pelbagai alat analitik berteknologi yang bernilai tinggi untuk dimanfaatkan oleh semua agensi penguat kuasa dalam memperkukuh aktiviti risikan, siasatan dan penguatkuasaan,” katanya.

Iklan

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama SPRM dalam mendapatkan dan berkongsi data melalui pelaksanaan operasi bersepadu antara agensi.

Sebelum itu, Shamshun mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam kunjungan tersebut, Shamshun telah menyampaikan taklimat mengenai latar belakang penubuhan, mandat serta fungsi NFCC sebagai agensi penyelaras dalam usaha membanteras jenayah kewangan negara.

Sementara itu, Abd Halim menyambut baik jalinan kerjasama antara SPRM dan NFCC serta berpandangan hubungan strategik sedia ada boleh terus diperkasakan demi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan pencegahan jenayah kewangan di negara ini.

"SPRM komited untuk terus bekerjasama dengan NFCC dalam memperkukuhkan perkongsian maklumat serta memanfaatkan keupayaan analitik yang dimiliki demi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Strategik NFCC, Wan Mohd Nazri Wan Osman serta Pengarah Bahagian Integrasi dan Tadbir Urus Aset Rampasan NFCC, Mohd Fazid Nordin.