'Tempoyak pun mahal kalau jual'

Iklan
Mohd Zolkafly (tiga dari kiri) ketika hadir ke Jualan Agro Madani sempena Jelajah Sejahtera Agro @ Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Arena Sungai Siput pada Jumaat.

SUNGAI SIPUT - Pengusaha dan pekebun disaran meneroka pemprosesan buah durian kepada produk hiliran seperti tempoyak yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, langkah tersebut mampu menjadi alternatif kepada isu lambakan durian ketika musim puncak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permintaan terhadap tempoyak kekal tinggi, malah harga jualannya juga lebih mahal berbanding durian segar, khususnya di luar musim.

“Tempoyak pun ada permintaan yang tinggi dan harganya juga agak mahal. Bila bukan musim, bukan senang nak dapat tempoyak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Agro Madani sempena Jelajah Sejahtera Agro @ Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Arena Sungai Siput di sini pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu berkata, isu lambakan durian yang dilaporkan berlaku ketika ini tidak seharusnya dilihat sebagai masalah sekiranya pekebun mempunyai inisiatif dan kreativiti dalam memasarkan hasil.

Iklan

Katanya, kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah menyediakan pelbagai mekanisme termasuk mewujudkan kira-kira 90 pusat jualan durian di seluruh negara bagi membantu pekebun memasarkan hasil mereka.

"Di Perak kita juga ada pusat pemprosesan durian yang menghasilkan pes untuk tujuan eksport dan pasaran tempatan antaranya di Batu Kurau, Taiping serta Chui Chak di Teluk Intan.

“Pekebun boleh menghantar durian ke pusat ini dan operator akan membeli serta membantu memasarkan dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata musim durian yang berlaku serentak di seluruh negeri sememangnya menyumbang kepada lebihan bekalan, namun usaha berterusan sedang dilakukan bagi memastikan hasil pekebun terus mendapat pasaran.

“Yang penting, kita mahu bantu pekebun supaya hasil mereka tidak terbuang dan boleh dipasarkan dengan nilai lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zolkafly menyempurnakan pelepasan 1,000 benih ikan temoleh; 150,000 benih udang galah dan 15,000 benih ikan baung di Jeti Kampung Periang, Enggor sebagai usaha memulihara sumber perikanan di Sungai Perak.

Turut disampaikan Kit Pertanian Bandar kepada Sekolah Seni Malaysia Perak bagi membolehkan pelajar menjalankan pembelajaran dan kajian berkaitan pertanian moden.