PRN Johor medan masa depan rakyat, bukan selamatkan individu - AMK

Iklan
Danish

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sepatutnya menjadi medan untuk menentukan hala tuju masa depan negeri dan bukannya referendum bagi menyelamatkan nasib politik mana-mana individu.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, rakyat Johor perlu membuat pilihan berdasarkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, bekalan air, banjir dan pembangunan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hairan apabila terdapat pihak yang cuba mengheret PRN Johor sebagai referendum terhadap nasib seorang individu sehingga mengalihkan fokus daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.

"Apakah rakyat Johor akan keluar mengundi untuk menentukan masa depan negeri ini atau dipaksa mengundi demi memenuhi agenda politik peribadi?

Iklan

"Inilah masalah apabila sesebuah parti terlalu lama terperangkap dengan politik individu sehingga setiap kali pilihan raya berlangsung, perbahasan bukan lagi mengenai kepentingan rakyat, sebaliknya tertumpu kepada usaha menyelamatkan seorang bekas pemimpin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua UMNO Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang mendakwa Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor kelak akan memberi isyarat bahawa rakyat terus menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Iklan

Beliau juga mengulas naratif kemenangan besar BN itu akan membawa kepada pembebasan ayahnya. 

Dalam pada itu Danish berkata, rakyat Johor ketika ini lebih memerlukan kerajaan yang mampu membawa pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, menaik taraf infrastruktur, menyelesaikan isu banjir, menyediakan rumah mampu milik serta menangani masalah bekalan air dan kos sara hidup.

Tambahnya, isu-isu berkenaan sepatutnya menjadi fokus utama sepanjang kempen PRN Johor.

"Sebagai seorang anak, beliau mempunyai hak untuk mempertahankan bapanya. Tiada siapa mempertikaikan hak tersebut. Namun, jangan sesekali memperalatkan rakyat Johor untuk memperjuangkan agenda politik keluarga. 

"Pilihan raya negeri bukan pentas membina tekanan politik terhadap proses kehakiman, apatah lagi menjadikan rakyat sebagai alat untuk membersihkan legasi mana-mana individu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat juga tidak boleh melupakan bahawa Najib telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International serta turut disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan utama melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, penghakiman Mahkamah Tinggi turut menolak pembelaan bahawa bekas Perdana Menteri itu hanyalah mangsa yang diperdaya, sebaliknya mahkamah memutuskan terdapat hubungan yang jelas antara Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, dalam pelaksanaan penyelewengan dana 1MDB.

"Mahkamah turut menolak dakwaan bahawa wang yang diterima merupakan sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi dan memutuskan bahawa wang tersebut sebenarnya berasal daripada dana 1MDB.

"Malah, mahkamah turut menyatakan bahawa Najib bukan seorang pemimpin yang naif atau diperalatkan. Sebaliknya, beliau mempunyai kawalan dan pengaruh yang sangat besar sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sehingga menjadikannya pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang berlaku. 

"Datuk Seri Najib adalah dalang utama skandal kewangan 1MDB yang telah mengakibatkan rakyat dan negara menanggung beban hutang 1MDB sehingga ke saat ini," dakwanya. 

Sehubungan itu, Danish mempersoalkan kewajaran menjadikan PRN Johor sebagai platform untuk membina simpati terhadap seorang individu yang masih melalui proses rayuan di mahkamah.

"Apakah yang lebih penting, masa depan lebih empat juta rakyat Johor atau masa depan politik seorang individu?" katanya.