KULAI - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi tumpuan utama terhadap lapan daripada 20 kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Antaranya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Bukit Naning, Pemanis, Senggarang, Bukit Batu, Tenggaroh, Kempas dan Puteri Wangsa.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, kerusi berkenaan disifatkan mempunyai potensi besar untuk dimenangi.
Selain itu katanya, PKR berusaha menawan seberapa banyak kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan negeri bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan (PH).
"Salah satu kerusi yang kita mahu pertahankan adalah di DUN Bukit Batu dan pada masa sama kita mahu tambah jumlah kerusi di DUN lain.
Beliau berkata demikan dalam sidang media selepas melancarkan Manifesto Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini pada Jumaat.
Turut hadir, calon PH untuk DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.
Lih Kang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap kerajaan negeri yang dipilih nanti terdiri daripada wakil pelbagai kaum dan agama sama seperti yang dipraktikkan di peringkat kerajaan Pusat.
Katanya, kerajaan negeri perlu menepati komposisi masyarakat majmuk di negeri ini yang diketuai pemimpin Melayu.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.