KOTA KINABALU - Pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang menyaksikan harga bahan api itu kembali diturunkan disambut dengan kelegaan oleh sebahagian besar rakyat di seluruh negara selepas sebelum ini harganya pernah mencecah sehingga RM6.72 seliter.
Bagaimanapun segelintir mereka menyifatkan kuota 200 liter sebulan di bawah Program Budi Madani tidak mencukupi kerana habis digunakan dalam tempoh kurang sebulan.
Pengasas Persatuan Amal dan Jenazah Sabah (Team Amal), Masrul Guding, 36, berkata, rekod penggunaan diesel bagi sebuah ambulans sepanjang Jun menunjukkan kenderaan itu menggunakan kira-kira 406 liter diesel dengan kos keseluruhan mencecah RM1,400.
"Jumlah itu hanya untuk sekitar Kota Kinabalu. Kalau di luar daerah memang penggunaan lebih daripada itu dan ini sekali gus menggambarkan keperluan bahan api yang tinggi bagi memastikan operasi serta perkhidmatan kecemasan kepada masyarakat dapat diteruskan.
"Kami pula bukan sekadar membuat penghantaran pesakit atau jenazah di sekitar Kota Kinabalu, tetapi ke daerah lain juga seperti Tawau, Sandakan, Beaufort, Sipitang, Kudat, Kota Marudu, Lahad Datu dan sebagainya yang kita tahu terletak beratus kilometer perjalanan," katanya kepada Sinar Harian.
Masrul berkata, pihaknya turut berdepan kesukaran kerana sebahagian ambulans dan van jenazah yang digunakan merupakan kenderaan wakaf, namun masih didaftarkan atas nama syarikat penyumbang.
"Untuk kenderaan diesel, ada van jenazah yang diwakafkan cuma masih atas nama syarikat yang memberi wakaf.
"Memang pemilik atau syarikat cuba sedaya upaya untuk memohon mendapatkan subsidi bagi kenderaan tersebut, namun belum ada keputusan," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini kos pengisian diesel sering didahulukan sendiri oleh sukarelawan sebelum dituntut semula atau dianggap sebagai sumbangan mereka kepada persatuan.
"Macam kami ini sebelum ini, kadang-kadang sukarelawan guna duit sendiri dahulu untuk isi minyak. Kalau mereka berikan resit, kita akan bayar balik. Kalau tidak, itu dikira sebagai infak mereka kepada persatuan.
"Tetapi sekarang semua pun terasa terbeban. Walaupun begitu, kami tetap meneruskan aktiviti kebajikan ini dan semua perkhidmatan masih diberikan secara percuma.
"Cuma kami berharap ada satu mekanisme atau budi bicara daripada kerajaan untuk membantu NGO seperti kami. Hakikatnya, kebanyakan van yang kami terima bukan didaftarkan atas nama persatuan, jadi ada sedikit kesukaran untuk mendapatkan subsidi," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Edmund Manggie, 54, berkata, terdapat kampung yang jauh dari pekan sehingga menyebabkan penduduk hanya keluar apabila benar-benar perlu.
Menurutnya, ada penduduk perlu menempuh perjalanan hampir 120 kilometer untuk ke pekan berhampiran, dengan kos tambang mencecah RM250 bagi satu perjalanan.
"Itu sebelum subsidi bersasar dilaksanakan. Selepas ia dilaksanakan, saya fikir kesukaran yang selama ini dirasai penduduk bandar kini turut dirasai oleh penduduk kampung, termasuk di kawasan pedalaman," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin masyarakat di Sabah dapat membawa suara rakyat kepada kerajaan supaya pelaksanaan subsidi bersasar diesel mengambil kira realiti serta keperluan sebenar penduduk di negeri ini yang mempunyai tahap kebergantungan tinggi terhadap kenderaan diesel.