Permohonan subsidi diesel bagi jip, pikap syarikat dibuka hari ini

Iklan
Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor baharu Pengangkutan Darat (persendirian syarikat – jip dan pikap) dibuka mulai hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor baharu pengangkutan darat iaitu syarikat persendirian yang menggunakan jip dan pikap dibuka mulai hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan kelayakan itu merupakan tambahan kepada dua sektor sedia ada di bawah SKDS iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dengan penambahan sektor baharu berkenaan, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS kini berjumlah 35.

"Bagi sektor baharu iaitu pengangkutan darat syarikat yang menggunakan jip dan pikap, permohonan pendaftaran dibuka bermula hari ini (3 Julai ) dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa bermula 15 Julai 2026 tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan fleet card," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan pada Jumaat.

Armizan berkata, melalui SKDS, manfaat subsidi diesel diberikan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang berkelayakan di seluruh negara, dengan penyaluran subsidi dibuat menerusi kaedah fleet card berdasarkan kadar kuota tetap mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.

Iklan

Menurut beliau, bagi sektor itu, syarat kelayakan menetapkan kenderaan perlu didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan kelas/kod kegunaan persendirian Slsyarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, katanya, perniagaan juga perlu berdaftar di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak.

"Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian," jelas beliau.

Sehubungan itu, Armizan menggesa pemilik perniagaan yang memenuhi syarat supaya membuat permohonan dengan segera melalui portal MySubsidi bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel sebaik skim itu berkuat kuasa pada 15 Julai ini.

Pelaksanaan Budi Diesel Madani (Budi Diesel) yang bermula Rabu lalu membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai.

Pelaksanaannya telah memanfaatkan 700,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara yang merangkumi 400,000 pemilik di Semenanjung dan bakinya, 300,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.