Kes bunuh Nhaveen: Empat tertuduh dibicara Oktober depan

Iklan
Keempat-empat tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi Georgetown pada pagi Jumaat.

GEORGE TOWN – Perbicaraan kes membabitkan empat lelaki yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh mangsa buli, T Nhaveen akan berlangsung selama lapan hari bermula Oktober depan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 7 hingga 9 Oktober serta disambung pada 12 hingga 16 Oktober oleh Timbalan Pendaftar, Muhammad Firdaus Abdul Wahab ketika prosiding pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amri Johari berkata, mahkamah turut menetapkan satu lagi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid pada 13 Julai ini sebagai persiapan akhir sebelum prosiding pembelaan bermula.

Menurutnya, sebarang isu atau perkara yang ingin dibangkitkan oleh pihak pendakwaan atau pembelaan akan dikemukakan dalam prosiding tersebut bagi memastikan perjalanan perbicaraan pada Oktober nanti berjalan lancar.

Iklan

Beliau berkata, pihak pendakwaan akan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Manvir Singh Dhillon dan R Thevan.

Perbicaraan kes membabitkan empat lelaki yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh mangsa buli, T Nhaveen akan berlangsung selama lapan hari bermula Oktober depan.

Mengulas tempoh hampir sembilan tahun sebelum kes itu memasuki peringkat pembelaan, Mohd Amri berkata, cabaran utama yang dihadapi pihak pendakwaan adalah meneliti semula keseluruhan fakta kes serta keterangan saksi yang telah direkodkan sebelum ini.

Iklan

“Kami perlu menyemak semula semua fakta, keterangan saksi dan rekod prosiding terdahulu supaya pasukan pendakwaan benar-benar bersedia apabila perbicaraan bermula,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 3 Oktober 2023 melepaskan dan membebaskan empat tertuduh daripada pertuduhan membunuh Nhaveen.

Susulan keputusan itu, panel hakim mengarahkan J Ragesuthan, S Gokulan serta dua lagi individu yang masih di bawah umur ketika kejadian membela diri selain mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk prosiding pembelaan.

Kesemua tertuduh turut diperintah membela diri atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap rakan Nhaveen, T Previin, dalam kejadian berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 9 Jun 2017.

Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian itu.