KUANTAN- Kecekalan dua beradik yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya bangkit kembali berniaga cendol bagi membantu meringankan beban keluarga mendapat perhatian Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
TEKUN Nasional melalui hantaran di Facebooknya menjelaskan, permohonan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan OKU TEKUN Nasional telah diluluskan bagi membantu Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, memperkukuh perniagaan serta meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Jelasnya, prihatin dengan situasi kedua beradik tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengesyorkan pihak TEKUN Nasional turun padang bertemu dua beradik itu bagi meninjau sendiri perkembangan perniagaan serta keperluan mereka.
"Hasil daripada lawatan tersebut, permohonan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan OKU TEKUN Nasional telah diluluskan untuk mereka.
"Semoga pembiayaan yang disalurkan menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan mereka serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk terus bangkit dan berjaya walau berdepan pelbagai cabaran," ujarnya.
Sebelum ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan pemberian Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) kepada dua beradik itu bermula Ogos ini bagi memperkasakan ekonomi dan menyokong kegigihan mereka.
Melalui kenyataan agensi itu, kedua-duanya akan menerima elaun sebanyak RM450 seorang sebulan, menjadikan keseluruhan RM900 sebulan.
Kedua-dua beradik terbabit sebelum ini turut menerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM500 seorang, Tabung Bantuan Segera (TBS) serta bantuan kerusi roda khas bagi membantu proses pemulihan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kegigihan dua beradik terbabit membangunkan semula perniagaan keluarga selepas melalui detik hitam dalam kemalangan jalan raya pada 7 Februari tahun lalu.
Mereka memilih mengusahakan Cendol Meleleh di Taman Seri Lebak, Temerloh bagi membantu bapa menambah pendapatan keluarga.
Dalam kejadian pada 7 Februari tahun lalu, motosikal yang dinaiki Nik Haziera Saffiya bersama Nik Haznita Saffiya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kaki kanan kedua-dua beradik itu terpaksa dipotong akibat kecederaan parah.