KLANG – Sebuah kilang kayu di Jalan Kapar Batu 5 1/2 di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.05 pagi2.
"Seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara serta bantuan BBP Kapar dan BBP Pelabuhan Klang bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh ebam kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ashrul Riezal berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit selepas menerima panggilan dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang kayu yang merupakan bangunan kelas B.
Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.05 pagi dan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran masih dijalankan.
"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.