PENGASINGAN kuasa menjadi asas penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan dalam sistem negara demokrasi berjalan secara teratur termasuk dalam pelaksanaan fungsi dan bidang kuasa setiap agensi atau jabatan.
Prinsip ini bagi memastikan setiap institusi memainkan peranan masing-masing tanpa berlaku pertindihan kuasa.
Setiap entiti mempunyai peranan tersendiri yang saling melengkapi.
Namun begitu, kefahaman masyarakat terhadap pembahagian bidang kuasa ini masih belum menyeluruh.
Antara faktor menyumbang kepada kekeliruan tersebut ialah kurangnya komunikasi berterusan daripada pihak berkaitan untuk menerangkan fungsi dan peranan masing-masing kepada umum.
Lebih-lebih lagi dalam era media sosial yang mana maklumat boleh tersebar dengan pantas tanpa melalui proses semakan sewajarnya.
Akibatnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan pelbagai pandangan yang dikongsikan individu tertentu berdasarkan persepsi bukannya keseluruhan fakta sesuatu isu.
Akhir-akhir ini, beberapa isu timbul antaranya 'perdebatan' berkenaan isu penyelesaian kes rasuah menerusi pembayaran kompaun dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi laporan media 20 Jun lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan menegaskan keputusan menarik balik sesuatu pertuduhan tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya melalui proses penilaian yang ketat dan berlapis.
Kata Mohd Dusuki, proses berkenaan membabitkan kerjasama rapat antara bahagian penyiasatan dan pendakwaan SPRM dengan bahagian khusus dalam Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menilai sama ada pertuduhan masih boleh diteruskan dari sudut perundangan.
Justeru, masyarakat perlu mendapat pengesahan setiap maklumat yang diterima.
Ini kerana laporan tidak tepat boleh memberi kesan kepada reputasi individu, perjalanan siasatan atau prosiding mahkamah.
Perlu difahami agensi penguatkuasaan juga berdepan kekangan tertentu untuk menjelaskan perkara di luar bidang kuasa mereka.