BACHOK – Seorang ibu hanya mampu melihat jenazah anak lelaki tunggalnya yang sudah ditutupi kain sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dihempap pokok kelapa ketika menaiki motosikal bersama rakan di Kampung Permatang Pasir, Gunong di sini pada Khamis.
Lebih memilukan, Nik Mohd Haikal Abd Rahim, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gunong itu tidak sempat menghabiskan peperiksaan percubaan yang baru dua hari bermula apabila maut dalam kejadian tersebut.
Ibunya, Raja Ruhana Raja Mejan, 53, berkata, ketika kejadian, anak lelaki tunggal terbabit hanya sempat menduduki kertas percubaan Bahasa Melayu selepas sehari sebelumnya menjalani ujian mendengar Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.
Menurutnya, sebelum kejadian kemalangan itu, anaknya keluar dari rumah mereka di Kampung Bukit Cendol, Gunong pada jam 5.45 petang dengan menunggang motosikal Modenas Kris dan dibonceng rakan karib, Ahmad Iqbal Mukmin, 17.
Katanya, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar rumah dan hanya memaklumkan bahawa peperiksaan percubaan SPM sudah bermula.
“Semalam dia pergi ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Siang tadi pula dia ke sekolah dan selesai jawab Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2.
“Dia memang ada beritahu peperiksaan percubaan dah bermula, tetapi tak ada langsung tunjuk perubahan atau cakap apa-apa sebelum keluar petang itu,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Bachok di sini pada Khamis.
Turut kelihatan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Azhan Anuar yang segera hadir ke hospital itu dan melawat ahli keluarga mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Nik Mohd Haikal juga penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala selepas motosikal yang dinaikinya dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang ketika hujan lebat dan angin kencang.
Ahmad Iqbal Mukmin yang membonceng motosikal itu cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu.
Ahmad Iqbal Mukmin juga membawa tongkat bersama semasa menaiki motosikal sebelum kemalangan itu kerana kesan kemalangan lain sebelum ini.
Raja Ruhana berkata, dia mengetahui kemalangan menimpa anaknya itu selepas seorang rakan anaknya yang lain datang ke rumah memaklumkan Nik Mohd Haikal dihempap pokok kelapa.
“Saya tahu, masa tu dia sudah tiada,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira lapan kilometer dari rumah mereka ketika Allahyarham melalui laluan berhampiran kawasan sawah dan tali air.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Katanya, sebelum ini dia pernah kehilangan dua anak perempuan ketika mereka masih kecil iaitu anak sulung yang meninggal dunia pada usia lima tahun akibat penyakit jantung dan anak ketiga yang juga sakit waktu kanak-kanak itu berusia dua tahun.
“Nik Mohd Haikal satu-satunya anak lelaki dan sangat rapat dengan saya tapi saya reda,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur pada Jumaat.