'Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, tapi bubar Parlimen' - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid berkata adalah lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu. - Foto Bernama

TANGGA BATU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini.

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, adalah lebih baik pembubaran Parlimen dibuat bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.

Iklan
Iklan

“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet. Sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan, iaitu kita berikan mandat semula kepada rakyat. Dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu,” katanya selepas ditemui pada program Perhimpunan Kakitangan Kemas Bersama Kepimpinan Tertinggi di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet.

Iklan

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, belum tiba masanya untuk mempertimbangkan rombakan Kabinet.

Ia susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

Iklan

Sementara itu, pada 6 November lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.

Pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.  - Awani