Stor jersi tiruan berselindung di sebalik bengkel besi terbongkar

Iklan
Antara jersi tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Sebuah stor yang berselindung di sebalik bengkel besi di Gombak di sini dipercayai dijadikan tempat menyimpan ribuan jersi tiruan terbongkar dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam operasi itu, seramai tiga individu berusia 30-an disyaki pekerja premis itu ditahan, manakala 10,500 helai jersi disyaki tiruan pelbagai pasukan yang bertanding dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 dirampas dengan anggaran nilai RM375,000.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan seminggu dengan kerjasama pemilik cap dagangan selepas mengesan kegiatan penjualan dan pengedaran barangan yang disyaki melanggar hak harta intelek.

"Operasi itu memberi tumpuan kepada premis yang disyaki menjual jersi menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik cap dagang.

Iklan

"Susulan peningkatan permintaan terhadap jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

"Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan ribuan jersi yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran.

Iklan

"Tindakan penguatkuasaan diambil bagi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan, melindungi hak pemilik harta intelek serta memastikan pengguna tidak menjadi mangsa pembelian produk tiruan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jersi tiruan dijual secara dalam talian dengan harga antara RM30 hingga RM50 sehelai.

Mohd Sabri berkata, siasatan awal mendapati pekerja itu menjual jersi tiruan berkenaan secara dalam talian dengan harga antara RM30 hingga RM50 sehelai.

"Kita memandang serius aktiviti penjualan barangan tiruan kerana bukan sahaja melanggar hak pemilik cap dagangan, malah boleh mengelirukan pengguna serta memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan mewujudkan persaingan perdagangan yang tidak adil," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat bukti berlaku kesalahan di bawah akta berkenaan.

"Kita mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada pemilik cap dagangan berdaftar bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penjualan barangan tiruan di pasaran.

"KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan penjualan barangan tiruan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987," katanya.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar," katanya.