KUALA LUMPUR - Lima warden Penjara Taiping akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Perak esok atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden pada Januari tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua mereka akan dituduh pada jam 9 pagi selepas kertas siasatan yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dikembalikan dengan arahan pertuduhan pada 29 Jun lepas.
Beliau berkata, tindakan itu diambil hasil siasatan menyeluruh oleh JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak seiring dengan saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung insiden tersebut yang turut mengorbankan seorang banduan.
"Bagi pertuduhan esok, seorang warden akan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kumar juga berkata, dua lagi warden bakal berdepan pertuduhan lebih berat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama bagi kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang warden penjara terbabit telah pun dituduh di Mahkamah Majistret Taiping pada 19 Disember lepas mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Kumar menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta kes memandangkan prosedur pertuduhan dan perbicaraan jenayah sudah bermula. - Bernama