Ancaman jenayah semakin kompleks, SPRM perkukuh penggunaan teknologi

Iklan
Majlis Penyerahan Buku Laporan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Tahun 2025 turut diadakan apabila Pengerusi PPPR SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican menyerahkan laporan berkenaan kepada Mohamad Salim untuk diedarkan kepada ahli-ahli LPPR.

PUTRAJAYA – Ancaman jenayah termasuk pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dana awam dan jenayah rentas sempadan yang semakin canggih menuntut pendekatan lebih strategik, pantas serta berteraskan teknologi bagi memperkukuhkan usaha pembanterasan rasuah negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, penggunaan teknologi digital, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) perlu diperluaskan secara menyeluruh merangkumi aspek risikan, siasatan, forensik digital, pendakwaan serta pengurusan organisasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan SPRM kekal berdaya saing, responsif dan relevan dalam mendepani cabaran landskap jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Bilangan 2 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Rabu.

Iklan

Abd Halim berkata, usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen serta kerjasama padu daripada seluruh ekosistem negara melibatkan kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Menurutnya, LPPR turut memainkan peranan sebagai rakan strategik serta mekanisme semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar, strategi dan tindakan SPRM sentiasa berada pada landasan tepat serta selaras dengan kepentingan negara.

Iklan

"SPRM hari ini berdiri atas asas kukuh sejak penubuhannya pada tahun 1967.

"Menjadi tanggungjawab kepimpinan hari ini untuk meneruskan kesinambungan tersebut dengan memperkukuh segala yang telah baik serta menambah baik ruang yang masih boleh dipertingkatkan demi memperkukuhkan institusi ini," katanya.

Beliau berharap hubungan strategik antara SPRM dan LPPR terus diperkukuhkan bagi membina institusi pencegahan rasuah yang lebih mantap, berintegriti serta terus mendapat kepercayaan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pelantikan Abd Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu amat signifikan memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman negara.

Menurutnya, LPPR yakin pengalaman, kewibawaan dan integriti Abd Halim mampu terus memperkukuhkan kredibiliti serta keberkesanan SPRM sebagai institusi utama dalam menerajui agenda pembanterasan rasuah negara.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Buku Laporan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Tahun 2025 turut diadakan sebelum mesyuarat berlangsung sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah negara.