Kebergantungan tinggi diesel di Sabah, subsidi perlu dikaji semula - AMK Sabah

Iklan
Zaidi (gambar kecil) berkata, AMK Sabah menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel di Sabah dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif, fleksibel dan berpaksikan realiti tempatan. Foto fail Bernama

KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah memandang serius pelaksanaan dasar subsidi diesel yang mula berkuat kuasa pada Rabu, khususnya kesannya terhadap rakyat Sabah yang sebahagian besar bergantung kepada penggunaan diesel dalam kehidupan harian dan aktiviti ekonomi.

Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, pihaknya memahami rasional kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan reformasi subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan, membendung penyeludupan serta memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak.

Iklan
Iklan

"Melihat dari sudut prinsip, usaha ini mempunyai justifikasi yang munasabah dan wajar dihormati. Namun, AMK Sabah berpandangan bahawa pelaksanaan dasar ini perlu mengambil kira realiti cabaran dan keunikan Sabah yang berbeza daripada negeri-negeri lain, khususnya di Semenanjung Malaysia.

Katanya lagi, ramai rakyat Sabah terdiri daripada pelbagai golongan yang sangat bergantung kepada kenderaan diesel untuk bergerak, bekerja dan menjana pendapatan.

Iklan

"Mereka terdiri daripada petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, pengusaha logistik, kontraktor kecil dan pekerja luar bandar.

"Dalam konteks ini, pelaksanaan subsidi diesel secara berkuota dan bersyarat menimbulkan kebimbangan bahawa ramai pengguna sah akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan subsidi secara adil dan mencukupi.

Iklan

"AMK Sabah turut bimbang sekiranya pelaksanaan ini akan memberi kesan rantaian terhadap peningkatan kos logistik, kos pengangkutan dan akhirnya harga barang keperluan, yang pastinya memberi tekanan tambahan kepada rakyat Sabah yang telah lama berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Sehubungan itu, Zaidi mewakili AMK Sabah menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel di Sabah dengan mengambil pendekatan yang lebih inklusif, fleksibel dan berpaksikan realiti tempatan.

"AMK Sabah percaya bahawa reformasi subsidi adalah penting untuk kelestarian fiskal negara. Namun, dasar yang baik juga perlu dilaksanakan dengan adil, pragmatik dan sensitif terhadap realiti setempat.

"Kami yakin kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa terbuka untuk mendengar denyut nadi rakyat serta melakukan penambahbaikan demi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan dan kesejahteraan," katanya.