Bersatu tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia - ADUN Chenderoh

Iklan
Syed Lukman Hakim

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia bahawa kekuatan serta pengaruh parti itu masih kekal seperti suatu ketika dahulu susulan perubahan landskap politik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin berkata, perkembangan politik semasa menunjukkan rakyat telah berubah, malah kemunculan parti baharu turut mengubah percaturan sehingga Bersatu perlu menerima hakikat bahawa kedudukannya tidak lagi seperti sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Bersatu juga tidak seharusnya terus memainkan naratif seolah-olah menjadi mangsa susulan keputusan Pas memutuskan hubungan politik dengan parti itu.

"Kekuatan sesebuah parti bukan diukur melalui sidang media, kenyataan di media sosial atau retorik politik, sebaliknya melalui keyakinan rakyat, kesetiaan ahli dan kemampuan menggerakkan akar umbi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, keputusan Pas bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan natijah daripada tindakan beberapa pimpinan Bersatu yang didakwa sejak sekian lama menyerang, mempertikai dan memperlekehkan rakan politik itu.

Katanya, beberapa kenyataan terbuka yang menyentuh kepimpinan Pas termasuk institusi parti, Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am, Presiden serta pimpinan tertinggi telah menggores hati ahli dan penyokong parti berkenaan.

Iklan

Menurut beliau, Bersatu tidak seharusnya menganggap ahli Pas akan melupakan perkara tersebut memandangkan parti itu mempunyai akar umbi yang kukuh, ahli yang berdisiplin serta menghormati setiap keputusan kepimpinan.

"Apabila Pas memutuskan hubungan politik, tiba-tiba nada berubah. Yang sebelum ini lantang menyerang kini bercakap soal perpaduan, manakala yang sebelum ini begitu yakin dengan kekuatan sendiri kini tampil seolah-olah menjadi mangsa.

"Rakyat mampu menilai sendiri apa yang berlaku," katanya.

Beliau turut menggesa Bersatu menghormati keputusan yang dibuat Pas melalui proses rasmi parti dan berhenti menyalahkan pihak lain.

"Sudah tiba masanya Bersatu bermuhasabah. Politik bukan tentang ego atau siapa paling lantang bersuara, tetapi tentang membina kepercayaan.

"Apabila kepercayaan itu dirosakkan sendiri, jangan salahkan pihak lain apabila mereka memilih untuk membawa haluan yang berbeza. 'Move on'. Itulah jalan yang lebih matang dan lebih bermaruah," katanya.