MASJID TANAH – Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Dr Nur Farhana Hamzah, menutup sementara operasi kliniknya di Cheng selama dua minggu bagi memberi tumpuan penuh kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dr Nur Farhana, 41, berkata, klinik yang diusahakannya sejak 2016 itu ditutup bermula hari penamaan calon bagi membolehkannya mendekati pengundi di kawasan berkenaan sepanjang tempoh berkempen.
“Saya tutup klinik sementara kerana mahu memberi tumpuan kepada kempen. Jadi, sepanjang dua minggu ini saya tidak mengambil pesakit yang kebiasaannya membuat temu janji lebih awal.
“Insya-Allah, selepas kempen berakhir, saya akan memulakan semula operasi klinik seperti biasa,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kuala Linggi.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, walaupun berasal dari Balai Panjang, Kesidang, beliau tidak menganggap perkara tersebut sebagai halangan untuk berkhidmat kepada masyarakat di Kuala Linggi.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, keputusan menerima tawaran bertanding dibuat selepas mengambil kira keperluan parti untuk menambah jumlah calon wanita serta mengisi kekosongan susulan penarikan diri calon asal, Datuk Ruzsyahriman Jenal, 50.
“Pada mulanya saya ditawarkan untuk menggantikan calon asal yang menarik diri. Selepas berfikir panjang, saya bersetuju kerana merasakan perlu membantu parti.
“Saya memang berniat untuk membantu parti sama ada sebagai ahli biasa, bekerja di belakang tabir atau sekiranya diperlukan sebagai calon, saya bersedia menerima dan menggalas tanggungjawab itu,” katanya.
Mengulas cadangan memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan di Kuala Linggi, beliau berkata, penduduk tidak semestinya memerlukan sebuah lagi klinik swasta, sebaliknya lebih memerlukan peningkatan akses dan mutu perkhidmatan kesihatan sedia ada.
Menurutnya, antara perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya diberi mandat ialah merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan melalui kepakaran dimiliki, termasuk kemungkinan menyediakan khidmat perubatan percuma di pusat komuniti dengan kerjasama serta kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, sekiranya cadangan itu tidak dapat direalisasikan, beliau akan meneruskan perkhidmatan kliniknya di Cheng selain membuka pusat khidmat Bersama di Kuala Linggi.
Mengulas penglibatannya dalam politik, Dr Nur Farhana berkata, minat terhadap perjuangan politik sudah sebati sejak kecil kerana dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam dunia politik.
Bapanya, Dr Hamzah, merupakan antara pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka pada 1998 hingga 1999 dan pernah bertanding di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum 1999.
“Rumah kami ketika itu menjadi bilik gerakan kempen dan saya pernah menyaksikan sendiri kehadiran pemimpin serta pejuang reformasi termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi, saya melihat perjuangan ini sebagai sesuatu yang perlu diteruskan kerana masih banyak reformasi yang kita inginkan untuk Malaysia belum tercapai,” katanya.
Beliau berkata, keputusan menyertai Bersama turut didorong keinginan membantu membangunkan parti baharu itu di Melaka susulan perkembangan politik semasa dalam Pakatan Harapan (PH).
Dari segi akademik, beliau memiliki ijazah perubatan dari University College Dublin, Ireland dan baru menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira dua minggu lalu dengan penyelidikan berkaitan kanser payudara.
Pada PRN Melaka kali ini, DUN Kuala Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Dr Nur Farhana, calon Pakatan Harapan (PH), Mukhlis Mubin, dan penyandang kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Abdullah.
Pada PRN Melaka 2021, Rosli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,836 undi selepas memperoleh 3,554 undi.
Calon PH ketika itu, Julasapiyah Kassim, memperoleh 1,718 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Aziah Mohd Sa’ad, meraih 1,645 undi.