Balai bomba baharu kukuhkan perkhidmatan kebombaan untuk rakyat - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan gimik perasmian BBP Sungai Lembing pada Khamis.

KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan hasrat agar lebih banyak balai bomba dibina di negeri ini bagi memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta mempercepatkan penyampaian bantuan kepada rakyat.

Baginda bertitah, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing sebagai BBP ke-29 di Pahang membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan di negeri ini khususnya kepada penduduk di Sungai Lembing serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Iklan
Iklan

Baginda berharap jumlah balai bomba di negeri ini akan terus dipertingkatkan pada masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian BBP Sungai Lembing di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.

Selain tujuh projek pembangunan fasiliti kebombaan sedang dilaksanakan di negeri ini termasuk Balai Bomba dan Penyelamat BBP Gohtong Jaya, BBP Benta dan BBP Pulau Tioman, Baginda turut mencadangkan penubuhan pasukan bomba sukarela (PBS) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.

Iklan

"Kampung Bantal sebuah perkampungan yang sangat jauh di pedalaman dan sukar menerima bantuan kecemasan dengan cepat, sekali gus memerlukan penubuhan PBS bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk di sana.

"Kampung Bantal cukup dekat di hati saya kerana ia merupakan Kampung Diraja. Kawasan itu terlalu jauh ke dalam dan sukar mendapat khidmat bomba," titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang atas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Sungai Lembing, termasuk projek tebatan banjir yang disifatkan amat penting memandangkan kawasan itu sering menjadi lokasi terawal dilanda banjir di negeri ini.

Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan sempena keberangkatan baginda menyempurnakan Majlis Perasmian BBP Sungai Lembing pada Khamis.

Baginda turut mengingatkan supaya usaha mendalamkan sungai dilaksanakan secara berterusan kerana tindakan itu mampu mengurangkan risiko limpahan air ketika musim hujan.

Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan bersama anggota bomba ketika berlaku kebakaran di Sekolah Menengah Al-Attas, Pekan pada awal 1980-an.

Menurut baginda, hasil arahan supaya pemeriksaan terakhir dilakukan di bangunan yang terbakar telah menemukan seorang pelajar yang terperangkap di bawah katil sebelum mayat mangsa berjaya dibawa keluar.

Baginda menyifatkan pengalaman itu sebagai bukti keberanian dan pengorbanan anggota bomba yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan orang lain.

"Saya sentiasa menghargai jasa bomba. Setiap hari saya membaca berita bagaimana mereka bertungkus-lumus berada di barisan hadapan membantu mangsa kebakaran, kemalangan jalan raya dan pelbagai bencana.

"Sanjungan dan penghormatan saya kepada seluruh warga bomba di negara ini, khususnya di Pahang," titah baginda.

Pada masa sama, baginda menyeru seluruh warga JBPM agar terus memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara ini.