Dunia tidak boleh berdiam diri sementara warga Palestin menderita di bawah penjajahan Zionis - PM

Iklan
Anwar semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa supaya tidak terus berdiam diri berikutan tindakan rejim Zionis yang berterusan menjajah, menindas dan merampas hak rakyat Palestin.

Beliau berkata, sejarah sepatutnya mengingatkan setiap negara tentang perjuangan masing-masing menentang penjajahan, selain mempersoalkan sama ada dunia sanggup"melihat sahaja" tanpa rasa bersalah ketika bentuk penjajahan yang sama terus berlaku tanpa hukuman.

Iklan
Iklan

"Dapatan terbaharu Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas berhubung tindakan pasukan keselamatan Israel sejak 7 Oktober 2023 mendedahkan kisah ngeri yang amat dahsyat dan tidak pernah berlaku sebelum ini, melibatkan pembunuhan secara sistematik, sengaja dan disasarkan terhadap lebih 20,000 kanak-kanak Palestin, selain menyebabkan kecederaan parah kepada 44,000 yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di sini, pada Khamis.

Iklan

Anwar berkata, kekejaman itu telah mencapai tahap di mana istilah"genosid" sendiri tidak lagi memadai untuk menggambarkan"kekejaman, kehinaan dan kejahatan mutlak" jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyifatkan krisis yang berterusan di Gaza sebagai"luka yang parah” pada hati nurani dunia secara kolektif dan menambah bahawa kegagalan negara-negara berpengaruh untuk campur tangan telah memberi keberanian kepada rejim Zionis untuk meluaskan kempen ketenteraannya di seluruh rantau itu.

Iklan

Perdana Menteri turut menggesa agar keganasan terhadap orang awam di zon konflik dihentikan segera dengan menegaskan bahawa permusuhan mesti ditamatkan dan perlindungan terhadap orang awam perlu diberi keutamaan.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan berterusan yang tidak memperdulikan nyawa manusia akan mencorakkan masa depan yang suram, di sebalik kemajuan pesat dalam pembangunan ekonomi dan teknologi.

Anwar juga melahirkan kebimbangan mengenai apa yang disifatkannya sebagai penyusutan rasa hormat yang semakin ketara terhadap undang-undang dan norma antarabangsa, di mana prinsip"siapa kuat menentukan apa yang betul" serta kepentingan nasional yang sempit kini semakin mengatasi kepatuhan kepada undang-undang dan komitmen antarabangsa.

Merujuk kepada pengalaman Malaysia sendiri, beliau berkata pembatalan sepihak penghantaran peluru berpandu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia oleh sebuah syarikat pembekal Norway, biarpun pembayaran hampir penuh telah dibuat, mencerminkan corak amalan dwistandard yang lebih luas dalam kalangan negara yang mendakwa menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Walaupun Malaysia akan terus mencari penyelesaian secara diplomatik dan perundangan, serta melakukannya dengan niat baik, episod ini menunjukkan masalah yang lebih besar serta trend dwistandard yang berbahaya oleh pihak yang mendakwa mempertahankan kedaulatan undang-undang, selain hipokrasi mereka yang dengan selesa membisu terhadap pelanggaran sedemikian.

"Adakah boleh diterima bagi sesetengah negara untuk mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, manakala negara lain pula tertakluk kepada piawaian pematuhan yang paling ketat?" tanya beliau.

Anwar memberi amaran bahawa jika layanan tidak adil sedemikian menjadi norma dalam hubungan antara negara Barat dan Selatan Global, ia akan menjejaskan kepercayaan serta prospek perkongsian yang saksama pada masa hadapan. - Bernama