KUALA LUMPUR – Seramai 32 warga China diberkas selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengendalikan sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian menerusi serbuan Op Soga XI di sebuah unit kedai pejabat di Cheras di sini pada Rabu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira jam 2.40 pagi itu berjaya menahan 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Iklan
Iklan
"Siasatan mendapati sindiket ini mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi satu laman sesawang dan menggunakan unit kedai pejabat berkenaan yang telah beroperasi sejak kira-kira tiga minggu lalu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Fadil berkata, polis turut merampas 28 unit komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
"Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata, Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan Op Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi fokus kepada ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.