SHAANXI – Seorang graduan universiti di China mencuri perhatian apabila membawa lebih 70 pingat maraton ke majlis konvokesyennya sebagai simbol pengorbanan membiayai pengajian menerusi penyertaan dalam pertandingan larian.
Jin Yanwei, 24, yang menamatkan pengajian di Institut Kejuruteraan Trafik Xi'an, wilayah Shaanxi, menggunakan sebatang pikulan yang dipenuhi puluhan pingat sebelum membawanya ke pentas sejurus menerima sijil tamat pengajian pada majlis konvokesyen 23 Jun lalu.
Beberapa lagi pingat turut digantung di lehernya, sekali gus mengundang tepukan gemuruh dan sorakan daripada pensyarah serta rakan-rakan graduan yang hadir.
Menurut laporan China Youth Daily, semua pingat tersebut diperoleh hasil penyertaannya dalam pertandingan maraton dan acara larian jarak jauh sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Yanwei, yang bukan merupakan pelajar dalam bidang sukan, mula menyertai maraton pada 2021.
"Bukan mudah untuk ibu bapa saya mencari wang. Jika saya dapat memperoleh sedikit pendapatan melalui larian bagi menampung kehidupan saya di universiti, saya dapat mengurangkan beban kewangan keluarga," katanya.
Menurutnya, dia juga tidak pulang ke kampung halamannya di daerah Luochuan sejak tiga tahun lalu kerana perlu memberi tumpuan kepada latihan sebagai persediaan menghadapi pertandingan.
Yanwei berlari secara purata 15 kilometer (km) (km) setiap hari dengan jumlah jarak larian antara 350 hingga 400 km sebulan.
Setiap hujung minggu, pelajar itu akan menyertai pelbagai acara larian di seluruh China dan berjaya memenangi maraton pertamanya pada 2023.