RAMALLAH - Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada Rabu memberi amaran mengenai pelan penempatan yang disokong Israel untuk merampas 100 lokasi strategik di seluruh Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, PA menyifatkan pelan itu sebagai"peningkatan berbahaya dan pengukuhan berterusan dasar pengilhakan serta penempatan Israel." Menurut PA, pelan itu bertujuan"memusnahkan sebarang peluang untuk keamanan dan kestabilan."
PA turut menuduh kerajaan Israel terus mengubah keadaan di wilayah Palestin dalam usaha menggagalkan penyelesaian dua negara serta semua usaha antarabangsa untuk menamatkan pendudukan.
PA menegaskan semua aktiviti penempatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah"menyalahi undang-undang serta terbatal dan tidak sah" di sisi undang-undang antarabangsa.
Pihak berkuasa itu menegaskan aktiviti penempatan haram melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB, dan"tidak memberikan Israel sebarang hak kedaulatan" ke atas wilayah Palestin yang diduduki.
PA turut meletakkan tanggungjawab terhadap kerajaan Israel atas akibat perluasan penempatan yang berterusan, sambil memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh mencetuskan peningkatan ketegangan di rantau itu.
PA turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya pentadbiran Amerika Syarikat, mengambil tindakan segera bagi menghentikan aktiviti penempatan dan memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa.
Di bawah Perjanjian Oslo II 1995, Tebing Barat dibahagikan kepada Kawasan A, B dan C. Kawasan A berada di bawah kawalan penuh Palestin, Kawasan B di bawah pentadbiran awam Palestin dan kawalan keselamatan Israel, manakala Kawasan C kekal di bawah kawalan penuh Israel serta meliputi kira-kira 60 peratus daripada Tebing Barat yang diduduki.
PBB berulang kali menegaskan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa serta menjejaskan prospek penyelesaian dua negara.
Rakyat Palestin menegaskan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara bagi negara Palestin pada masa depan, berdasarkan resolusi antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendudukan Israel pada 1967 atau pengilhakan bandar itu pada 1980. - Bernama