MUAR - Keputusan Pas tidak meletakkan calon di beberapa kerusi bukan majoriti Melayu di negeri ini dibuat berdasarkan penilaian terhadap peluang kemenangan bukan sebab takut berdepan dengan DAP.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemilihan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat berdasarkan komposisi pengundi, kekuatan calon dan potensi kemenangan selaras dengan matlamat utama setiap parti untuk meraih kemenangan.
“Apabila kita bertanding, sasaran kita tentulah untuk menang. Sekiranya kita ada kekuatan tak timbul pun isu takut sebenarnya.
Hadir sama, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendakwa Pas takut berdepan dengan DAP secara langsung dalam PRN Johor dan memilih untuk bergantung kepada proksi parti itu iaitu Barisan Nasional (BN).
Anthony berkata, keputusan Pas untuk tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP adalah sebahagian daripada strategi bagi menyatukan undi kepada calon-calon BN, khususnya MCA.
Katanya, Pas mengetahui bahawa meletakkan calon menentang DAP pada PRN Johor tidak akan memberi kemenangan kepada parti itu, sebaliknya hanya akan memecahkan undi.
Ditanya mengenai hubungan Pas dan BN yang didakwa semakin rapat susulan seruan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar semua ahli dan penyokong parti itu mengundi calon BN di kerusi tidak ditandingi PN, Ahmad Samsuri berkata, persepsi itu hanyalah tanggapan pihak luar.
“Kita tidak bertanding di semua kerusi. Jadi kawasan yang kita tidak bertanding, pengundi tetap perlu mengundi. Mereka akan membuat pertimbangan sendiri untuk memilih calon yang dirasakan paling sesuai.
“Jadi tidak timbul isu kekeliruan kecualilah kalau kita bertanding di semua kerusi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan wujud sebarang rundingan rasmi antara Pas dan BN sepanjang tempoh kempen PRN Johor.
"Tiada perbincangan. Kita fokus kepada gerak kerja jentera masing-masing untuk menghadapi pilihan raya," katanya.